Wanita terlanjur? Terimakah taubat?

Asalamualaikum w.b.t.. entry ini dipinjam dari blog cikgu Adham.. Untuk renungan dan nasihat kepada semua muslim dan muslimah, termasuklah saya..

Artikel ni dikarang/dipetik dari Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

SOALAN

Salam, saya pernah terlanjur dengan boyfriend tapi itu bukan atas kerelaan saya. Saya dipaksa melakukannya. Dalam hati, tidak sedikit pun terlintas perasaan itu. Saya menolak tapi dia tetap memaksa. Sekarang saya ingin tahu adakah Allah akan menerima taubat saya setelah saya terlanjur? Saya berasa sangat sedih, jijik dengan diri dan hidup saya sudah tidak tenteram. Hati saya selalu tidak tenang. Saya merasakan Allah tidak akan menerima taubat saya. Tolonglah bantu saya.

- Soalan melalui ruangan komen di artikel lepas-



JAWAPAN

Pertamanya, saya ucapkan syabas kerana saudari masih mempunyai iman dan punyai ilmu tentang haramnya tindakan itu, kerana itulah timbul perasaan takut, kesal, tidak tenang dan takut. Sekiranya perasaan itu makin menghilang, ia tanda iman juga semakin meluntur dengan sangat teruknya.

Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW yg bermaksud :

"Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )

Apa yang perlu dilakukan kini adalah meneruskan taubat. Taubat sebenar yang akan diterima Allah adalah dimulai dengan rasa penyesalan amat sangat dan diturut dengan beberapa amalan di bawah. Antara package dalam taubat di dalam Islam adalah seperti berikut :-



1) Bertaubat dengan sungguh-sungguh.

Kesal dan menangisi dosa yang dilakuakn dengan azam untuk TIDAK mengulanginya.



2) Tidak berjumpa teman lelaki atau 'dating' berdua-duaan dengannya.

Jika jumpa sekalipun, perlu diajak ahli kelurga yang tegas dalam soal hukum Islam bersama ( Jika tidak tegas, ia sama seperti tiada). Jika tiada abang, hanya berjumpa di rumah saudari dengan kehadiran ibu bapa (yang juga dari kalangan yang prihatin dan mesti mereka sentiasa bersama). Jika tidak mampu juga,Maaf !. Saudari tiada pilihan lain kecuali mesti mencari jalan untuk mampu melakukannya.

Jika tidak, saudari pasti akan terus mengulangi zina pada satu hari nanti. Selepas itu, segala pintu iman akan semakin tertutup rapat buat saudari, peluang menjadi celaka dan melahirkan zuriat yang celaka juga semakin membesar. Awas!

Syahwat seksual dan zina adalah sama seperti dadah dan kegilaan harta material, ia boleh membawa seseorang menjadi mabuk dan lupa segala-galanya. Sebagaimana hadis yang telah saya bawakan dahulu iaitu yang bermaksud:-

Sekiranya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )

Demikian juga perihalnya dengan nafsu syahwat seksual. Ia merupakan satu penyakit dalaman yang serius serta amat sukar dirawati. Ia sama sekali tidak boleh dipuaskan jika tidak dikawal dengan iman.

3) Mencari rakan wanita yang solehah di sekitar saudari.

Ini adalah satu tindakan yang baik, kerana dalam keadaan demikian, saudari memerlukan kaunseling berterusan dan kerap. Ia tidak akan diperolehi jika saudari berkawan dengan rakan yang seperti tingkah laku saudari sekarang. Jika susah untuk mendapatinya, sertailah kumpulan dan NGO yang mengumpulkan wanita-wanta baik dan berprogram bersama mereka seperti. Antara contohnya, sertai NISA', ABIM, JIM, ISMA dan lain-lainnya.

Ia adalah saranan Nabi s.a.w yang bermaksud:-

Sesungguhnya perumpaan rakan yang baik dan yang jahat itu, ibarat rakan pembawa minyak wangian dan tukang besi peniup api ; adapun rakan baik adalah seperti pembawa wangian, ia (membawa kesan kebaikan) iaitu samada ia akan menghadiahkanmu wangian, atau kamu membeli darinya ataupun kamu akan dapat bauan wanginya juga. Manakala rakan buruk seperti tukang besi penyala api, samada ia akan membakar bajumu atau akan mendapati bauannya (peluh) yang tidak enak" ( Riwayat Muslim, no 4762 )

Hasilnya, wajiblah mencari rakan yang baik. Termasuk mencari teman lelaki yang baik. Antara tanda lelaki itu baik adalah dia TIDAK AKAN PERNAH MEMBICARAKAN SOAL SEKS ATAU YANG MENAIKKAN SYAWAT denganmu sama ada melalui sms, telefon atau berdepan, SELAGIMANA DIA belum bernikah denganmu. Mana-mana lelaki yang membicarakannya atau meminta sebelum bernikah adalah lelaki jahat dan tidak layak dijadikan suami atau itulah bakal suami penzina, kecuali apabila mereka juga bertaubat.



4) Berkenaan ayat dan surah tertentu.

Ada yang bertanya ayat tertentu untuk bacaan harian agar terjauh dari zina. Hakikatnya dalam Islam, sekadar mengalakan ayat tertentu tanpa menghayati ertinya, masih tidak mampu menjamin terjauh dari zina serta membawa kesan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Pun begitu, jika masih ingin amalkan ayat tertentu,maka baca dan fahamilah ayat berkenaan dosa zina banyak-banyak, moga ia dapat menghindarkan diri darinya.

Ayatnya adalah firman Allah yang bermaksud:-

"Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman" ( Surah An-Nur : 2)



5) Memperbaiki solat dan memperbanyakkan amalan.

Saudari mengatakan saudari solat tetapi masih gagal mengawal nafsu, Ini bererti solat saudari perlu diperbaiki kerana solat merupakan antibodi terkuat dalam Islam untuk mengawal nafsu.

Allah swt mengarahkan mereka yang bertauat untuk mengriigi dosanya dengan memperbanyakkan amalan soleh, dengan harapan rahmat dan belas Allah akan melebihi murkanya.

KESIMPULAN

Saudari menyatakan saudari ‘tidak rela' , ada dua perkara di sini :-

Pertama : kerelaan untuk berzina tu bukan semestinya dalam bentuk kita setuju semasa kejadian tu sahaja, tetapi berdua-duaan dan berada dalam keadaan yang membolehkan zina itu berlaku itu sendiri adalah TANDA KERELAAN SEBENARNYA. Kiranya saudari tidak keluar atau berdua-duaan dengannya, pasti dia pun TIDAK boleh memaksa.

Maka puncanya tetap dari kesalahan saudari juga. Justeru, putuskan hubungan dengannya sama sekali dan jangan ulangi keluar dengan lelaki asing berdua-duaan, khususnya di tempat yang membolehkan berlakunya zina atau rogol. janganlah beralasan bahawa 'terlalu cintakannya' , 'terlalu sayangkan dia' sehingga tidak mampu untuk berenggang dan putus darinya. Semua itu hanyalah nafsu dan bukan cinta dan sayang yang suci, ia adalah 'ibarat cinta dan sayang seorang penagih dadah kepada dadah' sehingga sukar berpisah darinya. Memang sukar, namun perlukan azam kuat dan menempuh tembok syaitan dan nafsu yang besar.

Kedua : Dari sudut undang-undang dunia pula, jika itu berlaku saudari sudah dikira dirogol. Tatkala wajiblah saudari melaporkan kepada polis dan bukan hanya bertanya kepada mana-mana ustaz sahaja tanpa tindakan undang-undang. Tindakan membiarkan ia berlalu tanpa laporan adalah antara seburuk-buruk perlakuan seseorang mangsa rogol, walaupun mungkin dia sedang menderita, trauma, malu , sedih dan sebagainya, namun perlu ada ahli keluarga membantu untuk memastikan laporan dibuat. Laporan itu perlu bagi menyekat si ‘jantan' meneruskan aktiviti dosanya.

Akhir sekali, sentiasalah bersangka baik Allah akan menerima taubat setelah kita berusaha bersungguh-sungguh membuktikan penyesalan kita. Allah ada menyebut bahawa Allah bersama sangkaan hambaNya. Jika kita yakin Allah meneirmanya, maka Allah dengan sifat maha pengampunNya akan mengampun hambanya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh. Semoga berjaya mendapat keampunannya.




Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

7 Ogos 2010

No comments:

Post a Comment

opss!! jgn mengutuk k.. xbaik taw..